Sedang asyik saya menyusuri timeline di Twitter, terlihat saya kepada beberapa tweet yang menuduh pelajar luar negara sibuk bercuti ke sana-sini dan tidak semena-mena terus dituduh memakan duit rakyat. Fenomena ini juga berlarutan sehingga ke Facebook. Saya juga tidak pasti sama ada ianya mula-mula naik di Facebook dan terus ke Twitter atau sebaliknya.

Pada mulanya, saya rasakan tidak perlu sekiranya kita melayan mereka ini tapi sejak kebelakangan, isu ini berterusan hangat di media sosial dan saya rasa terpanggil untuk memberikan gambaran sebenar kehidupan pelajar yang ditaja ke luar negara dan bagaimana pelaburan modal insan ini dapat memberi kesan positif kepada negara. Saya juga ingin menegakkan pendirian bahawa pelajar-pelajar ini tidaklah seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.

Amaran: sebarang pendapat ini tidak mewakili suara majoriti mahupun seluruh pelajar di luar negara, hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

  1. Perlu diingatkan di sini bahawa tujuan asal Kerajaan menghantar pelajar-pelajar ini ke luar negara adalah untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik serta pendedahan terhadap budaya, cara pengurusan dan segala aspek nilai tambah yang boleh dibawa balik ke Malaysia.
  2. Tidak ada mana-mana elemen di dalam kontrak yang mengatakan pelajar ini tidak boleh pergi melancong langsung. Tidak salah untuk melancong, bukankah jauh berjalan luas pandangan?
  3. Saya rasakan persoalan pokok yang perlu kita olah bersama-sama ialah, adakah pelajar ini mencatatkan prestasi yang baik dalam pengajian serta aktif dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan dan kemudiannya pulang ke tanah air untuk sama-sama membangunkan negara?
  4. Bukannya disoal mereka ini sibuk melancong menggunakan duit rakyat atau tidak.
  5. Ya, memang betul mereka dibiayai dan ditanggung menggunakan duit pungutan cukai, di mana sudah tentu ibu bapa dan ahli keluarga mereka juga membayar cukai dan bukannya sesetengah daripada rakyat Malaysia sahaja.
  6. Mereka juga sudah dipilih secara rapi melalui sesi temuduga yang bertujuan untuk menyaring mereka supaya hanya yang betul-betul layak dan berkebolehan sahaja yang dipilih.
  7. Mereka juga perlu lulus dan mendapatkan keputusan cemerlang yang melayakkan mereka mengikuti ijazah sarjana muda di luar negara dan ini tidaklah datang bergolek.
  8. Sudah pasti mereka ini bersusah-payah untuk mendapatkan keputusan cemerlang dan hasil titik peluh ini dibayar dengan mereka belajar di luar negara dan menikmati beberapa perks lain seperti melancong dan sebagainya.
  9. Kita juga perlu lihat dari sudut jumlah elaun yang diberikan kepada mereka. Contoh di UK, pelajar yang tinggal di Zone B (selain London, Oxford dan Cambridge) mendapat £880 secara bulanan.
  10. £880 ini ditolak duit rumah £350 (purata di kawasan Manchester) termasuk bil api rumah, belum lagi dikira mereka yang tinggal di kampus £400+
  11. Duit makan kita ambil paling kurang £8 sehari x 30 hari = £240 tapi kebanyakkan pelajar-pelajar ini masak di rumah untuk berjimat. Kos ini hanya mencecah sebanyak £50 sebulan (jika masak).
  12. Kos menyewa rumah dan duit makan sudah mencecah £590, jika ditolak £880, ada lagi baki sebanyak £290.
  13. Baki inilah yang mereka gunakan untuk pengangkutan ke kelas (jika tinggal jauh), buku teks, alat tulis, kelengkapan peribadi, simpanan untuk hal-hal kecemasan, tiket pulang beraya dan sebagainya.
  14. Belum lagi kita mengambil kira tentang perlunya membayar balik pinjaman ini untuk pelajar tajaan MARA. Nilainya mampu mencecah puluhan ribu ringgit.
  15. Perlu ditekankan di sini, elaun yang diberikan kepada mereka adalah di bawah tanggungjawab mereka untuk menguruskan kewangan mereka sendiri.
  16. Ini tidak mengambil kira mereka yang tinggal di Zone A, di mana elaun mereka dianggarkan sekitar £1050 sahaja sedangkan kos sara diri di kawasan mereka sangatlah mahal.
  17. Sewa rumah mencecah £600-£700 serta pengangkutan pergi dan balik yang mampu mencecah £5+ sehari.
  18. Dari aspek melancong pula, tidak dinafikan kosnya dianggarkan sekitar £100-£300 sekiranya pelajar ini melancong ke Eropah (Jerman, Perancis, Sepanyol dll).
  19. Ini pun setelah mereka berjimat-cermat dalam mengambil kira kos penginapan, tiket penerbangan dan makan minum.
  20. Bukannya mereka melancong setiap hujung minggu kerana mereka pun sibuk dengan tugasan-tugasan, laporan makmal dan sebagainya. Belum lagi diambil kira kerja-kerja dari aktiviti-aktiviti berpersatuan mereka.
  21. Hanya ada dua cuti panjang (3 minggu – 1 bulan) iaitu pada cuti musim sejuk (Disember) dan pada Easter Break (bulan April).
  22. Ini belum lagi mengambil kira mereka yang terpaksa menyiapkan tugasan-tugasan yang turut menyumbang kepada markah dalam pengajian mereka serta untuk membuat persiapan bagi peperiksaan setelah tamatnya cuti.
  23. Kalau pun mereka ini melancong tanpa menghiraukan prestasi keputusan mereka, sudah pasti pihak yang bertanggungjawab mengawasi mereka ini akan memberikan amaran atau paling teruk, menarik balik biasiswa/pinjaman mereka.
  24. Mereka juga diberi amaran sewaktu taklimat sebelum berlepas ke luar negara, untuk fokus dalam pelajaran dan tidak hanya sibuk melancong ke sana sini.
  25. Melancong itu hanyalah perks kepada pelajar-pelajar ini dan bukannya matlamat utama mereka dihantar ke luar negara.
  26. Ada juga pelajar yang pergi melawat rakan-rakan di bahagian lain UK, untuk menyokong rakan mereka yang terlibat dalam Malaysian Night atau mengambil bahagian dalam Malaysian Games dan sebagainya.
  27. Kejam sangatkah kita untuk menafikan hak mereka untuk menjadi manusia untuk bersama rakan-rakan di luar negara? Sedang mereka duduk di luar negara, jauh dari keluarga dan hanya pulang ke Malaysia setahun sekali, itu pun hanya untuk beraya.
  28. Kejam sangatkan kita untuk menafikan hak mereka untuk menjadi manusia yang seimbang mental dan fizikalnya? Sedang mereka sibuk belajar, menimba pengalaman dan kemudiannya balik berbakti kepada negara.
  29. Pengalaman belajar di luar negara bukanlah hanya pergi ke kelas dan balik, mereka juga perlu sebanyak mungkin mempelajari budaya pemikiran, cara bekerja masyarakat antarabangsa, bagaimana mereka menjadi efisyen dan sebagainya. Inilah nilai tambah yang diperolehi mereka selain pendidikan yang mantap.
  30. Rugilah sekiranya pelajar ini dihantar ke luar negara hanya untuk belajar dan kemudiannya balik berkhidmat.
  31. Pendedahan budaya ini penting bagi mencorak pemikiran mereka untuk berfikir secara kritis dan puitis.
  32. Malah, di universiti sekalipun mereka dilatih untuk berfikir secara kritikal dan matang serta tidak menerima bulat-bulat apa yang mereka baca.
  33. Kesimpulannya, pelajar-pelajar di luar negara ini tidaklah hanya sibuk melancong dan menghabiskan duit rakyat. Mereka juga manusia seperti kita semua. Mereka ada naluri dan perasan mereka sendiri.
  34. Mereka inilah pelaburan modal insan yang akan pulang ke tanah air dan bersama-sama mengorak langkah dalam misi kita membangunkan negara.

Sebarang komentar bernas dialu-alukan dan boleh diajukan di bahagian komen di bawah ini sekiranya anda tidak sependapat dengan apa yang telah diperkatakan dalam post ini.

Join the conversation

3 Comments

  1. Saya setuju dengan anda. Anak anak mengikat perut disana kalau mengharapkan duit biasiswa. Ramai yang bekerja untuk menambah duit.poket agar tidak menyusahkan penaja atau ibu bapa. Mereka ini yang terbaik dipilih. Kadang kadang di Malaysia sendiri pembaziran berlaku didepan mata. Kementerian atau Jabatan yang berbelanja mewah untuk majlis tertentu ?? Jangan kita menuding jari…mereka melancung dengan usaha dan inisiatif sendiri. Berjimat walaupun semasa melancung.

  2. Pemikiran yang cetek hingga menyebabkan pandangan myopic yang tidak berasaskan kajian dan fakta….hanya terus-terusan menuduh pelajar menyalah-gunakan wang rakyat. Pemikiran dan perbuatan ini sama seperti Fitnah di mana semua pun tahu adalah dosa besar yang boleh meruntuhkan sebuah masyarakat. Pemikiran singkat seperti ini ada kait-mengait sebenarnya dengan perasaan hasad dengki dan cemburu. Justeru, menuduh tanpa selidik (mengkaji dan menyelidik sebelum bersuara juga adalah suatu kelaziman yang kurang sekali diamalkan oleh masyarakat kita walhal itulah yang diajarkan oleh Allah swt)…bilalah masyarakat kita akan berlari bersama masyarakat yang lain dalam aspek pemikiran mereka.

    1. Saya setuju dengan anda. Pemikiran singkat ini pastinya tidak akan menterjemahkan usaha murni kita bersama dalam memabangunkan negara. Betul lah kata orang first class infrastructure but third class mentality. Ini perlu diubah seiring dengan matlamat yang diusulkan dalam TN50.

Leave a comment

Leave a Reply to Aminah Syeed Ali Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *