Aku ingat lagi pada larut malam itu, dengan bertemankan secangkir kopi dan aroma indahnya, aku duduk di hadapan mesin taip lalu aku terus menaip benak fikiranku ini. Butir-butir salji terusan jatuh di tepi tingkap bilikku seperti buah-buah persoalan yang muncul tanpa henti dan sepertinya salju fikiran ini tanpa permulaan, tanpa pengakhiran. 

Pada hemat aku, hujahnya mudah: merantau ke luar negara pastinya tersemat perasaan rindu pada negara bangsaku nun beribu kilometer jauhnya sedang aku berada di United Kingdom. Sudah tentu tidak mudah untuk berjauhan dengan keluarga tapi kerna ‘rumah’ itu terletaknya bukan pada tempat semata tetapi di mana jatuhnya hati kita, tidak terikat tanpa tempat dan masa. Benar, terbitnya perasaan rindu itu dalam jiwa, namun apalah kehidupan ini tanpa perasaan rindu dan sudah tentu tiada perkara yang mudah dalam kehidupan ini. “C’est la vie” ujar rakanku yang belajar di Perancis, yang bermakna, begitulah kehidupan.

Aku berhenti menaip lalu berfikir aku sejenak mengenai kehidupan – masa depan. Ketidakpastian dan keraguan menghantui mana-mana manusia sekalipun apabila berbicara mengenai masa depan. Sudah pastinya ada perkara yang kita mahu dan kita mampu untuk mendapatkannya. Tapi sedangkan yang kaya harta itu menginginkan kebahagiaan yang miskin punyai, mana mungkin insan biasa sepertiku ini mampu mendapatkan segalanya dalam dunia. Aku percaya kehidupan ini seperti yin-yang, seimbang. Kaya harta tapi miskin jiwa dan miskin harta tapi kaya jiwa juga tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan ini. Manusia perlukan keseimbangan dalam mencari kesempurnaan. Namun dalam aku mencari falsafah di sebalik kesempurnaan kehidupan, aku jadi buntu. Mana mungkin kesempurnaan itu wujud sedang kita penuh cacat-cela. Akan tetapi jambatan kepada persoalan ini dan jawapannya disampaikan kepadaku pada ketika seorang teman berkata padaku, “Hidup ini bukanlah untuk mengecami segala keagungan semesta tetapi adalah untuk melatih diri bersyukur pada apa yang kita ada dan berusaha sebaik mungkin untuk berbakti kepada yang lain.”

Tersentak aku dari lamunan, dalam aku memikirkan mengenai kehidupan dan masa depan. Seperti ilmu falsafah dalam politik, kehidupan ini juga punyai falsafah-falsafah yang mana pada aku memberi makna dalam kehidupan sementara ini. Hidup itu kosong dan tidak bererti ibarat membeli pau di R&R di lebuhraya yang tidak berinti. Sudah tentu kecewanya hati ini apabila ditipu sebegitu rupa namun kecewakah kita duhai teman apabila menyedari kehidupan kita selama ini tanpa erti? Untuk hidup adalah untuk mencari tujuan kehidupan seseorang. Teringat aku pada kata-kata Mark Twain, seorang penulis dan pensyarah dari Amerika Syarikat: dua hari yang penting dalam hidup ini adalah hari kita dilahirkan dan hari di mana kita sedar tujuan kita dilahirkan

Duhai teman bisakah kau fahami benak fikiranku ini?

Aku meneruskan arus taip dan seperti mengetahui arus fikiranku yang semakin deras, salji turun makin lebat pada larut malam itu. Cawan yang tadi dipenuhi dengan kopi sudah menjadi separuh. Separuh penuh atau separuh kosong. Aku tinggalkan sahaja persoalan yang terlintas buat kau duhai teman untuk menjawabnya di kemudian hari.

Terlintas kembali memori ketika aku berjalan berseorangan melalui lorong-lorong kecil dalam pelukan bangunan-bangunan vintaj berseni-binakan nilai estetik avant garde zaman Victoria dahulu. Pada waktu itu aku sedang ingin untuk pergi ke kedai kopi di pinggiran kota Manchester selepas seharian di dewan kuliah kepenatan melihat gambar rajah ekonomi yang hanya berasaskan andaian dan bukannya bukti nyata. Tidak ramai warga Malaysia yang mengetahui letaknya kedai kopi itu dan mungkin aku rasa tidak ramai yang gilakan kopi seperti aku ketagihannya. Ketagihan ini pada aku bukanlah merupakan perkara yang buruk dan tidak juga dipenuhi dengan yang baik-baik sahaja. Mungkin salah aku juga untuk meletakkan efek placebo pada kopi untuk mengekalkan tahap sedar yang mengikatku pada realiti. Sampai sahaja di kedai kopi itu, aku terus memesan secawan cappuccino, tidak begitu manis dan tidak begitu pahit – seperti hidup ini yang tercampur suka duka.

Sedang aku duduk sambil menunggu kopi, aku terpandang kepada seoarang lelaki yang aku kira penduduk tempatan yang sudah beumur lanjut, memakai cermin mata sambal berkot biru gelap. Dia kelihatan begitu asyik membaca buku mengenai Revolusi Perancis. Jarang sekali untuk aku jumpa warga kita di tanahair sana yang membawa buku kemana-mana. Tidak kiralah di dalam tren, di tempat-tempat awam mahupun di kedai kopi sekalipun. Benar, pasti ada yang membaca buku dan terpulanglah untuk membaca di mana-mana kerana aku juga ada ternampak mereka yang membawa buku tapi malangnya buku yang mereka baca ialah novel-novel cinta pilu sendu. Tidak salah membacanya tetapi percayalah bahawasanya buku-buku yang kita baca inilah yang akan mencorak karakter dan nilai-nilai dalam diri seseorang. Misalnya seperti buku Revolusi Perancis ini, mungkin penuh sekali helaian-helaian sejarah mengenai perjuangan rakyat menentang penindasan monarki yang hanya tahu untuk menghabiskan wang berjoli dan hidup sebagai kelas atasan tanpa menghiraukan rakyat di bawah. Sedang rakyat marhaen hanya mampu untuk menikmati roti sebagai makanan ruji itupun hanya secebis roti yang harus dikongsi beramai-ramai. Tapi harus kita bersyukur tentang keadaan kita di tanahair sana, tidaklah kita melihat rakyat sengsara sepertimana pada zaman kita dijajah dulu. Tidak aku nafikan, mungkin ada gelandangan di sana-sini, terbaring di lorong-lorong sepi di tengah-tengah bandaraya tetapi ketahuilah hakikatnya di bumi UK ini juga ada mereka-mereka seperti ini. Ianya sudah menjadi lumrah dunia, dengan sistem ekonomi dan politik yang kita jalankan pada hari ini.

Akan tetapi duhai teman, tidak bisa kita salahkan sistem sahaja dan hanya memanjakan diri serta cuma hanya tahu untuk melunaskan kata-kata benci nista kepada pemerintah. Tidak berjaya sesuatu kaum itu sekiranya mereka tidak menginginkan kejayaan. Kejayaan itu milik mereka yang berusaha, hasil titik peluh dan darah yang mereka korbankan. Sejarah Revolusi Perancis juga mengajar kita tentang impak dan pengorbanan yang harus dihadapi sekiranya kita mengimpikan sesuatu dan bukan semua perkara itu datang bergolek kepada kita. Maximilien Robespierre, seorang peguam pada era Revolusi Perancis berkata: rahsia kepada kebebasan terletak pada mendidik orang, sedangkan rahsia kepada kezaliman adalah mengekalkan kejahilan mereka. Beliau merupakan antara tokoh penting dan antara yang terawal dalam menggubal Perlembagaan Rakyat yang pertama serta menjayakan Revolusi Perancis namun di hujung-hujung revolusi tersebut, kepala beliau turut dijadikan makanan kepada guillotine sewaktu The Reign Of Terror. Begitu sekali pengorbanan rakyat Perancis yang mengimpikan kemerdekaan dari monarki. Impaknya selepas itu, satu per satu monarki di Eropah jatuh dan pemerintahan yang adil dan saksama dikembalikan kepada rakyat dan hasilnya, kerajaan berdemokrasi yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat dinikmati kita sehingga hari ini.

Duhai teman bisakah kau fahami benak fikiranku ini?

Lihatlah duhai teman, yang revolusi itu tidak hanya bersenjatakan pedang dan senapang tetapi juga bersenjatakan akal fikiran yang tajam dan celik kepada segala perkara yang terjadi di sekeliling kita. Tidaklah aku mengimpikan revolusi berdarah di tanahair tetapi cukuplah sekadar celiknya mereka tentang peri pentingnya mereka untuk sedar dan tahu tentang hak-hak dan tanggungjawab yang mereka harus laksanakan demi menjaga dan memakmurkan tanahair tercinta. Tidaklah aku mengimpikan mereka untuk turun ke jalanan menentang kezaliman dan korupsi tetapi cukuplah sekadar mereka melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan supaya mereka tidak tertipu dengan janji-janji manis menjelang pilihanraya. Tidaklah aku mengimpikan mereka untuk bangkit bersenjata menentang pemerintahan tetapi fahamilah betapa kuasa itu datangnya dari rakyat dan haruslah dikembalikan kepada rakyat, luah nikmat kepada harta dan kekayaan negara untuk dikongsi bersama. Impian aku hanya satu, untuk melihat anak bangsa untuk terus maju mengorak langkah ke hadapan. Untuk memberi kepuasan di akhir usiaku nanti, melihat anak muda yang berani melontarkan idea-idea bernas yang menggegar dunia. Siapa sangka negara kecil di tengah Asia Tenggara itu mampu melahirkan pakar-pakar teknologi moden serta kertas-kertas penyelidikan yang bertaraf antarabangsa dan dijadikan rujukan negara-negara maju di seluruh dunia. Siapa sangka kita yang kini bukanlah siapa-siapa di pentas dunia mampu pada suatu hari nanti mencorak dunia dengan apa yang kita impikan – keadilan sosial buat semua.

Namun ingatlah duhai teman, yang kejayaan dan kemegahan itu tidak datang bergolek. Yang berjaya itu pada suatu ketika pernah jatuh dan mengeluh akan nasibnya tetapi yang penting selepas itu ialah kebangkitan seluruh tenaga yang melonjak lebih tinggi dari sebelumnya. Itulah kejayaan yang sebenar-benarnya.

Salji mulai turun butir demi butir di hujung larut malam itu. Nafasku menjadi sukar dan titis-titis air mata berhempas pulas untuk bebas keluar dari mataku. Bercampur-aduk emosi dalam jiwaku pada saat itu, sedih dan gembira, menggambarkan keadaan di tanahair beribu kilometer jauhnya. Arus taip tadi yang laju sudah beransur-ansur perlahan. Aku cuba untuk betul-betul memilih perkataan yang ingin aku semadikan pada kertas yang sudah masuk halaman keempat.

Ketahuilah duhai teman, yang cintaku pada tanahair itu tidak pudar walau sezarah sekalipun sedang keberadaan aku jauh di sini. Malah cintaku padanya berkembang mekar hari demi hari. Melihat kemajuan yang kita kecapi jauh di sana, sungguh cemburu aku dibuatnya. Benar, jika ingin dibandingkan dengan negara sini, jauh lebih baik segalanya tetapi ketahuilah duhai teman yang hidup ini penuh dengan khabar yang sekadar indah tetapi tidak pada rupa. Ada perkara baik yang boleh dipelajari di sini dan ada yang yang tidak baik untuk kita bawa kembali ke tanahair di sana. Tanahair tercinta kita baru sahaja merdeka 60 tahun dan negara yang aku duduki sekarang tidak pernah dijajah malah merekalah yang menjajah. Tidak mengapa duhai teman, jalan menuju kejayaan itu diselangselikan dengan gelak tawa dan pahit sedih. Langkah pertama sudah terlerai buat kita pada tahun 1957 dan yang paling utama ialah langkah kedua kita selepas ini, setelah 60 tahun kita bebas meneroka dunia. Ingatlah duhai teman bahawa mereka yang mengubah dunia itu bukanlah mereka yang mahir berkata-kata tetapi mereka yang membawa diri, mengembara dan mempelajari selok-belok tamadun berjaya melalui sejarah ataupun pemerhatian sendiri. Yang mengubah dunia itu bukanlah mereka yang menaip di halaman-halaman media sosial tetapi mereka yang memberanikan diri, mencuba perkara-perkara luar biasa serta rela mengorbankan diri demi kepentingan yang lain – demi negara bangsa yang tercinta.

Aku menamatkan luahan salju fikiranku di larut malam itu lalu terus memutar tombol bersebelahan roller mengikut arah jam sehingga kertas keluar dari mesin taip. Aku termenung sejenak sambil memikirkan kewajaran aku untuk memberikan hasil luahan yang bersebati rasional intellektual mengenai kehidupan dan emosi jiwa tentang harapan aku pada negara bangsa, kepada kau duhai teman. Salji sudah pun berhenti seperti mana daya fikiranku untuk menjawab kewajaran ini. Aku kemudiannya berjalan ke katil dan terus masuk ke bawah duvet bagi mempersiapkan diri untuk kematian sementara dan sebelum roh aku meninggalkan jasadku, sempat aku bertanya sekali lagi:

Duhai teman bisakah kau fahami benak fikiranku ini?


Cerpen ini dihantar dalam penyertaan saya bagi Pertandingan Sayembara Penulisan Kreatif UK-Eire 2017 anjuran MALECS (Malay Language and Culture Society Manchester). Cerpen ini juga telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah saguhati. Terima kasih kepada MALECS atas peluang dan penghargaan kepada saya sedang saya menulis cerpen ini di kala malam buta serta menghantarnya beberapa hari sebelum tamatnya tempoh penyertaan. Terima kasih sekali lagi buat MALECS dan harapnya cerpen ini memberi makna kepada hidup kita atau setidak-tidaknya terhibur dalam membaca cerpen ini 🙂

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *