Lebih kurang 2 minggu yang lalu, tercatatlah satu momen penting dalam sejarah demokrasi Malaysia iaitu terbuktinya demokrasi kita kekal utuh dan perubahan mampu dilaksanakan oleh rakyat Malaysia melalui proses pilihanraya yang aman, dan peralihan kuasa diadakan tanpa sebarang titisan darah. 

Anak muda juga mulai cakna dan berminat untuk mengambil tahu tentang hal-hal kenegeraan, lebih lebih lagi tentang dasar-dasar yang bakal dilaksanakan dan apakah dasar-dasar yang telah diperkenalkan kerajaan yang terdahulu akan diteruskan atau mungkin ada dasar-dasar baharu yang akan diilhamkan oleh pemerintahan Malaysia Baru? Itulah persoalan yang seringkali dijadikan topik perbualan anak muda walau sibuk menelaah pelajaran kerana PRU diadakan sewaktu musim peperiksaan kami di UK ini.

Terdapat juga peralihan pola berpolitik daripada politik benci kepada politik matang yang dapat dilihat melalui perdebatan tentang dasar-dasar yang dibentangkan oleh pihak yang bertanding di dalam PRU yang baru diadakan. Kebanjiran suara anak muda di media sosial menunjukkan kematangan dalam berpolitik melalui debat-debat sebegini yang seharusnya diraikan dan diteruskan tatkala tamatnya musim PRU.

Rakyat, terutamanya anak muda haruslah terus menjadi ‘check and balance’ dalam memastikan pemerintahan yang adil dan saksama, serta memenuhi janji-janji seperti yang diwar-warkan di dalam manifesto mereka. Demokrasi hanya mampu berfungsi secara baik sekiranya rakyat dapat menjadi sebahagian dalam sistem ‘check and balance’ tersebut dalam memeriksa setiap dasar yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah.

Idea haruslah diraikan dalam berpolitik, melalui cara intelektual dan tidaklah dengan menyemai kebencian terhadap pihak lawan. Perdebatan harus diperbanyakkan agar budaya pemikiran kritis mampu ditanam dalam sanubari anak muda dan tidaklah hanya mengikut apa yang disuapkan kepada mereka. Stigma negatif terhadap politik yang telah berakar umbi dalam masyarakat haruslah dibuang agar penyertaan rakyat mampu menjadikan proses demokrasi di Malaysia dijalankan secara efektif melalui keseimbangan kuasa antara tiga badan induk dalam sistem negara kita.

Platform-platform pendebatan haruslah disediakan dan diberikan peluang kepada anak muda untuk menyuarakan idea mereka. Ini mampu mengasah pemikiran kritis dengan memupuk budaya intelektual dalam berpolitik dan seterusnya melahirkan generasi yang mampu menganalisis isu-isu semasa secara rasional melalui fakta dan statistik serta tidak terpengaruh dengan mana-mana agenda pihak-pihak tertentu.

Di tanah ratu ini, parti-parti politik mempunyai badan pemikir mereka sendiri (atau yang berkait rapat) dalam menganalisa secara intelektual tentang nilai-nilai parti dalam mendepani cabaran peredaran masa dan perubahan landskap politik di UK. Kumpulan pemikir ini juga menghasilkan kertas-kertas kajian terhadap dasar-dasar yang akan dilaksanakan mahupun yang telah dilaksanakan sewaktu menjadi pihak kerajaan.

Sekitar tahun 60-an dan 70-an, di Persidangan Parti Buruh/Pekerja (Labour Party Conference), dunia politik United Kingdom (UK) menyaksikan anak muda dari Young Fabians Society (sebuah think-tank anak muda yang berkait dengan Labour Party UK) mempersoalkan dan membahaskan nilai-nilai perjuangan Parti Buruh itu, sejajar dengan peredaran zaman di mana bermulanya ‘the Age of Affluence’ yang mengubah pola politik di UK ketika itu. Dasar-dasar yang telah atau bakal dilaksanakan juga diperbahaskan dan dianalisa bagi mengemukakan cadangan atau pembaharuan ke atas dasar-dasar tersebut.

Tidak kiralah sewaktu parti mereka di bangku kerajaan mahupun pembangkang, idea anak muda terus diberi perhatian. Yang terbaru, Gerakan Momentum, atau Momentum Movement yang menyokong perjuangan Parti Buruh juga telah mengubah dinamik berpolitik anak muda yang turun ke akar umbi, berpolitik secara konvensional sekaligus dapat berhubung dengan rakyat secara terus.

Bagi pihak Parti Konservatif pula, David Cameron, bekas Perdana Menteri UK memulakan karier politiknya di Conservative Research Department (CRD) selepas menamatkan pendidikan ijazahnya di Oxford sebelum berkhidmat sebagai wakil rakyat dan seterusnya menjadi PM.

Margaret Thatcher yang terkenal dengan gelaran ‘the Iron Lady’ turut memberikan perhatian khusus dalam mengendalikan CRD sewaktu bermulanya proses revolusi Thatcherism pada saat-saat awal memegang tampuk pemerintahan parti Konservatif. Terbukti juga pentingnya peranan intelektual dalam menyediakan batu asas dalam pembentukan awal Thatcherism dalam arena politik UK, di mana idea Thatcherism telah mengubah landskap politik UK buat selama-lamanya.

Kini masanya sudah tiba, bagi anak muda untuk disinonimkan dengan idea dan politik berintelektual. Masa depan negara tentu akan menjadi lebih cerah dan gemilang apabila ianya ditunjangi idea intelektual kerana terletaknya kuasa itu pada ilmu pengetahuan dan hanya melalui ilmu pengetahuan, kita mampu mencorak masa depan yang kita impikan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *